Kedai caj teh o ais RM5 di PD dikenakan kompaun

Perkongsian mangsa harga 'cekik darah' sebuah kedai makan di Port Dickson.
Perkongsian mangsa harga 'cekik darah' sebuah kedai makan di Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Bukan seorang pelanggan, sebaliknya tiga pelanggan mendakwa menjadi mangsa harga 'cekik darah' sebuah kedai makan di Medan Selera Seri Bayu di sini yang tular baru-baru ini.

Premis makanan berkenaan tular di media sosial susulan caj RM5 dikenakan untuk segelas teh o ais termasuk harga makanan lain yang disifatkan mahal.

Menerusi perkongsian pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nik Aisyah, dia memberitahu tidak sangka turut menjadi mangsa kedai makan kayangan viral.

Dia turut menasihatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak menerima nasib sama.

"Kita pun makanlah dekat kedai yang tiada 'banner' itu sebab tak ingat nombor kedai dia, rupanya banner atas kedai tu dia cabut...elak pun terkena juga.

"Waktu makan tadi ramai terkena, mujurlah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada sekali," tulisnya.

Turut dimuat naik ialah resit makanan yang diterima daripada kedai berkenaan yang antaranya tertera RM10 untuk dua gelas teh o ais dan RM6 untuk segelas milo ais.

Perkongsian pemilik akaun Facebook Nik Aisyah mengenai harga makanan di sebuah premis yang didakwa mahal.
Perkongsian pemilik akaun Facebook Nik Aisyah mengenai harga makanan di sebuah premis yang didakwa mahal.

Sementara itu, KPDNHEP Port Dickson ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, pemilik premis terbabit telah pun dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 pada Khamis.

"Bertindak atas tiga aduan diterima daripada orang awam, pasukan penguat kuasa KPDNHEP Port Dickson telah menjalankan Ops Samar.

"Hasil pemeriksaan mendapati, tiada tanda harga diletakkan di premis dan tindakan kompaun serta-merta telah dikenakan," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!