Dua mayat budak dalam beg pakaian lelong
WELLINGTON - Polis New Zealand pada Khamis mengesahkan dua mayat kanak-kanak disumbat dalam beg pakaian yang dibeli dalam satu sesi lelongan di Auckland.
Pegawai penyiasat, Detektif Inspektor Tofilau Faamanuia Vaaelua berkata, mayat berkemungkinan telah disimpan selama beberapa tahun dan mangsa dipercayai berusia sekitar lima hingga 10 tahun ketika meninggal dunia.
Menurutnya, mayat kanak-kanak itu disumbat dalam dua beg pakaian yang bersaiz sama.
“Siasatan kes ini agak mencabar terutamanya tempoh antara masa kematian dan masa penemuan,” kata Vaaelua.
Polis kini menjalankan siasatan jenayah dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) dan berikrar menjejaki mereka yang bertanggungjawab atas kematian tersebut.
Penemuan mayat kanak-kanak berkenaan terbongkar apabila satu keluarga berjaya membida treler muatan barangan yang dilelong secara pukal dari unit simpanan di Auckland Selatan baru-baru ini.
Keluarga itu kemudian membawa semua barangan yang berjaya dibida termasuk beg berkenaan, tanpa mengesyaki kandungan yang tersimpan di dalamnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!