Dortmund pilihan terakhir Ronaldo

Ronaldo terdesak untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dengan Dortmund dilihat sebagai pilihan terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup bulan depan. - Foto Sky Sports
Ronaldo terdesak untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dengan Dortmund dilihat sebagai pilihan terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup bulan depan. - Foto Sky Sports
A
A
A

SEBUAH kelab gergasi Jerman dikhabarkan membuka ruang buat pemain sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo untuk angkat kaki meninggalkan Old Trafford.

Di sebalik keinginan pemain berusia 37 tahun itu yang mengintai peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara, Borussia Dortmund dinyatakan berminat untuk menandatanginya.

Ejen kapten Portugal itu, Jorge Mendes giat berusaha untuk mendapatkan lampu hijau bagi membolehkan pemenang tujuh kali Ballon d'Or merasai pengalaman pertama di pentas Bundesliga, lapor CBS Sports.

Dortmund dikatakan giat mengadakan perbincangan dalaman mengenai cadangan tersebut dan Mendes diminta menyediakan tawaran.

Ronaldo meluahkan hasrat untuk berhijrah dari Old Trafford bulan lalu, kurang setahun selepas kembali ke kelab berkenaan.

Bos The Red Devils, Erik ten Hag pada asalnya enggan melepaskannya, tetapi kemudian berubah hati dan bersedia melepaskannya jika ada tawaran sesuai.

Bayern Munich, Atletico Madrid, Barcelona, Sporting Lisbon, Chelsea, Inter Milan dan AC Milan dikaitkan dengan perpindahan pemain itu, tapi ia gagal dilaksanakan.

Dortmund dikatakan mahu mendapatkan seorang lagi penyerang selepas Sebastien Haller dijangka berehat beberapa bulan disahkan menderita ketumbuhan pada alat sulitnya.

Sumber rapat dengan Ronaldo mendakwa bahawa perpindahan ke Borussia Dortmund akan menjadi 'pilihan terakhir' sebelum jendela perpindahan ditutup bulan depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!