17 maut, 17 hilang banjir kilat di China
XINING - Sekurang-kurangnya 17 orang maut, manakala 17 lagi masih hilang selepas aliran lumpur bercampur batu yang dicetuskan oleh hujan lebat melanda kawasan perkampungan di barat laut Qinghai, China awal Khamis, kata pihak berkuasa tempatan pada sidang media Khamis.
Sementara itu, 20 orang yang dilaporkan hilang sebelum ini berjaya diselamatkan, lapor Xinhua.
Kira-kira 4,500 anggota bomba, polis, tentera, kakitangan penyelamat dan penduduk tempatan masih menjalankan usaha mencari mereka yang hilang, Han Xianghui, naib ketua jabatan pengurusan kecemasan wilayah, memberitahu sidang media.
Hujan lebat sejak malam Rabu, melanda Datong Hui dan Daerah Autonomi Tu di ibu kota wilayah Xining.
Menjelang tengah malam Khamis, hujan lebat mencetuskan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh serta menyebabkan aliran sungai bertukar arah.
Seramai 6,245 penduduk di enam perkampungan terjejas, dan sekurang-kurangnya dua bangunan hanyut manakala 14 bangunan dilaporkan rosak teruk.
Ma Mingxu, ketua kerajaan daerah berkata, pusat perlindungan sementara telah dibuka di dua sekolah bagi menempatkan lebih 1,200 orang.
Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengurusan Kecemasan telah memperuntukkan 50 juta yuan (kira-kira US$7.37 juta) dana bantuan bencana alam, serta 50 juta yuan lagi disumbangkan jabatan kewangan wilayah.
Dana itu akan digunakan untuk usaha menyelamat dan bantuan bencana, memberi tumpuan kepada pencarian, misi menyelamat dan penempatan semula mereka yang terjejas, pengesanan bencana sekunder, baikpulih rumah yang rosak, dan pelbagai aspek lain. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!