Semangat baharu Hamilton
JUARA dunia tujuh kali, Lewis Hamilton memperoleh semangat baharu selepas kembali daripada percutian di Afrika untuk menyambung semula kempen perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Pemandu Mercedes itu menghabiskan cuti musim panas F1 dengan mengembara ke Afrika dan percaya dia akan kembali ke Grand Prix (GP) Belgium pada 26 hingga 28 Ogos ini dengan lebih bersemangat.
“Dua minggu lalu adalah antara hari terbaik sepanjang hidup saya.
“Saya bukan lelaki yang sama seperti sebelumnya. Segala keindahan, cinta dan kedamaian yang dialami membuatkan saya berasa berubah sepenuhnya.
“Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya sekarang. Saya dapat mendalami asal usul dan sejarah keluarga saya,” katanya di Instagram.
Bapa Hamilton, Anthony Hamilton berasal dari Grenada iaitu sebuah pulau di Laut Caribbean, manakala ibu, Carmen Larbalestier pula dari Birgmingham, England, namun mereka berpisah ketika pelumba berusia 37 tahun itu masih kecil.
“Terima kasih Namibia, Rwanda, Kenya dan Tanzania. Kehadiran kami dialu-alukan ke setiap tempat yang kami lawati.
“Kami dilayan seperti sebuah keluarga. Kepada saudara saya yang menyertai saya dalam perjalanan ini, terima kasih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!