MPV Proton Exora 2023 dilancar
PROTON Holdings Bhd (Proton) pada Jumaat melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk Proton Exora 2023 yang merupakan peningkatan dari segi kuasa, ruang serta nilai.
Model tersebut ditawarkan dalam lima warna - Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey pada harga RM62,800 hingga RM72,300 seunit.
Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata Proton Exora merupakan MPV Segmen C terlaris Malaysia dengan lebih 180,000 unit telah dijual sejak 13 tahun lepas.
"Kemas kini terbaharu Proton Exora 2023 ini telah dihasilkan dengan lebih baik untuk semua pemandu dan juga penumpang yang merentasi pelbagai aplikasi serta fokus untuk mengukuhkan ciri kuasa, ruang dan nilai," katanya.
Roslan berkata, Proton Exora terbaharu itu antara lainnya menampilkan tempat duduk kulit yang luas dengan setiap barisan dilengkapi penyaman udara individu bagi penyejukan optimum dengan penapis kabin N95.
Dari segi keselamatan, model tersebut dilengkapi dengan dua beg udara SRS hadapan, sistem brek anti-kunci, pengagihan brek elektronik, kawalan kestabilan elektronik dan isyarat berhenti kecemasan.
Proton Exora 2023 kini dibuka untuk tempahan secara dalam talian serta di pusat-pusat pameran Proton yang sah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!