Bangunan baharu SJKT Ladang Regent akhirnya dapat CPC
TAMPIN - Penantian warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKT) Ladang Regent di Gemencheh untuk menggunakan bangunan baharu sekolah itu berakhir apabila menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 8 Ogos lepas.
Bangunan lama sekolah itu yang kini sudah berusia lebih 90 tahun beroperasi di Ladang Regent menempatkan 251 murid dari tahun satu hingga enam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, bangunan baharu sekolah berkenaan bernilai RM8.55 million mula dibina pada tahun 2014 dan sepatutnya siap pada tahun 2016.
"Bagaimanapun, kita menerima lanjutan tempoh masa (EOT) sebanyak empat kali iaitu kelewatan atas beberapa sebab antaranya Majlis Daerah Tampin meletakkan syarat untuk membina jalan asing keluar-masuk.
"Selain itu, syarat baru Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) untuk sambung paip dari jalan utama dan Perintah Kawasan Pergerakkan (PKP) melewatkan kerja-kerja membaik pulih," katanya kepada pemberita selepas selesai penyerahan salinan CPC untuk bangunan baharu SJKT Ladang Regent pada Jumaat.
Beliau berkata, pelbagai usaha diambil Pejabat Timbalan Menteri sejak tahun 2020 untuk mendapatkan kelulusan CPC termasuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak pembangunan agar mempercepatkan pemberian sijil berkenaan.
"Setakat ini selain SJKT Ladang Regent terdapat dua lagi SJKT yang telah menerima CPC iaitu SJKT Jalan Tajol, Kota Tinggi, Johor ( relokasi) pada 25 Mac lalu dan SJKT Bandar Sri Alam, Pasir Gudang, Johor ( sekolah baru) pada 31 Mei lepas.
"...Manakala terdapat satu Sekolah Menengah Agama (SMA) juga telah menerima CPC iaitu SMA Chuah, Port Dickson (Relokasi) dan ia telah diberikan pada 16 Ogos lalu," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Ladang Regent, P.Navaneetham ketika ditemui meluahkan rasa gembira dan lega apabila menerima CPC bangunan baharu sekolah itu.
"Bangunan baharu sekolah terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah lama dan sedia maklum bangunan lama itu tidak lagi sesuai digunakan selain kawasan disitu sering dilanda banjir.
"Justeru, kita akan berpindah ke bangunan baharu dalam masa terdekat selepas proses berkaitan selesai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!