KL City dapat tonik tambahan
KEJAYAAN menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 menjadi penyuntik semangat buat para pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) sebelum pertemuan menentang PSM Makassar dari Indonesia pada final Piala AFC 2022 Zon ASEAN minggu depan.
Biarpun sekadar meraih kemenangan tipis, namun ia cukup penting buat skuad The City Boys untuk mendapat tonik tambahan menjelang final itu di laman sendiri, Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini.
Jurulatih KL City, Bojan Hodak berkata, kemenangan mengatasi NSFC bukan diraih dengan mudah kerana mereka dibarisi pemain hebat dan berpengalaman sekali gus sukar untuk menundukkan pasukan yang berada di tangga ketiga Liga Super itu.
Katanya, kemenangan itu juga diharap membuka mata penyokong skuad The City Boys untuk membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu pada pertemuan penting menentang PSM Makassar.
“Saya lihat bukan senang untuk mencatatkan kemenangan ke atas NSFC kerana mereka memenangi empat perlawanan berturut-turut termasuk menumbangkan pasukan gergasi.
“Sebab itu, saya katakan perlawanan ini penting untuk meraih kemenangan kerana ia menjadi peniup semangat kepada pemain untuk beraksi cemerlang pada final Piala AFC 2022 Zon ASEAN.
“Saya mengharapkan penyokong KL City membanjiri stadium pada perlawanan itu dan jangan sampai peminat PSM Makassar pula memenuhi venue kita kelak,” katanya kepada media selepas aksi yang berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
Gol tunggal perlawanan diraih tuan rumah pada masa kecederaan babak pertama menerusi ketua pasukan, Paulo Josue yang sudah meledak lima gol setakat ini dalam saingan liga.
Kemenangan itu menyaksikan Kecemerlangan NSFC yang meraih empat kemenangan berturut-turut aksi Liga Super tersekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!