20 peratus wanita Malaysia mati putik

Dr Shaharum ( tiga dari kanan) hadir merasmikan Persidangan Seksualiti di Asia 2022 (AOFS) di USM pada Jumaat.
Dr Shaharum ( tiga dari kanan) hadir merasmikan Persidangan Seksualiti di Asia 2022 (AOFS) di USM pada Jumaat.
A
A
A

KUBANG KERIAN - [DIKEMASKINI] Kira-kira 20 hingga 30 peratus wanita berkahwin di negara ini berisiko mengalami masalah mati putik.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Rosediani Muhamad berkata, dapatan itu diperoleh melalui kajian 10 tahun lalu dan dijangka berlaku peningkatan berdasarkan persekitaran termasuk tekanan hidup serta pandemik Covid-19.

"Kajian dilakukan terhadap wanita yang menghidap penyakit kronik seperti kanser.

"Antara puncanya ramai wanita mengalami masalah kendiri iaitu kurang pengetahuan dalam seksual, bermasalah dengan suami dan kekurangan teknik ketika hubungan seks.

"Akibatnya, wanita berkenaan tidak mempunyai nafsu, kurang terangsang dan tidak mampu mencapai klimaks," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Seksualiti di Asia 2022 (AOFS) di Universiti Sains Malaysia (USM).

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin itu turut dihadiri Presiden Pertubuhan Kesihatan Seksual Sedunia (WAS) Dr Elna Rudolph; Presiden Asia Oceania Federation for Sexology, Dr Narayana Reddy dan Timbalan Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Dr Rosediani
Dr Rosediani

Menurut Dr Rosediani, USM mempunyai pakar dalam bidang itu dan boleh membantu mereka yang mengalami masalah tersebut melalui Klinik Rawatan Keluarga.

"Setakat ini sudah ada yang berjaya dirawat melalui psikoedukasi dan memiliki zuriat tetapi memerlukan sokongan suami," katanya.

Sementara itu, Dr Shaharum berkata, USM bertuah kerana menjadi tuan rumah kepada persidangan tersebut selepas 32 tahun pelaksanaannya.

Tambah beliau, persidangan itu membincangkan isu seksualiti dalam semua peringkat umur, gender dan penyakit kronik.

Antara negara terlibat dalam persidangan itu ialah Australia, India, Indonesia dan Jepun melibatkan lebih 250 peserta dari seluruh dunia.

3. Dr Shaharum
3. Dr Shaharum

"Masyarakat selalunya menyembunyikan masalah seksologi mereka dan tiada tempat sesuai untuk meluahkan perkara itu," katanya.

Justeru, beliau berharap persidangan tersebut menjadi platform utama untuk bertukar pandangan, berkongsi pengetahuan dan perawatan terkini dalam bidang seksologi serta perubatan seksual.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!