SUKIPT 2022: UPSI tak gentar status UITM
WALAUPUN Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal turun sebagai pasukan juara bertahan temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022), ia langsung tidak menggerunkan skuad bola sepak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjelang pertemuan final di Stadium UPSI pada Sabtu.
Perkara tersebut diakui ketua jurulatih UPSI, Mohd Azmin Abu Hassan yang melaungkan keyakinan bahawa anak buahnya mampu membawa pulang pingat emas berdasarkan prestasi semasa pasukan sepanjang kejohanan ini.
Malah katanya, dia percaya kelebihan bermain di laman sendiri dan sokongan padu pemain ke-12 dilihat sedikit sebanyak bakal membantu pasukannya untuk meraih ibu segala pingat emas tersebut.
“Walaupun UiTM turun dengan status sebagai juara bertahan, kami langsung tidak takut dengan mereka. Kalau dilihat prestasi semasa skuad kami, mereka beraksi dengan begitu baik.
“Malah dalam pertembungan peringkat kumpulan sebelum ini, mereka (UiTM) tidak berjaya belasah kami. Mereka cuma berjaya menang tipis 3-2.
“Jadi saya harap pada aksi final esok (Sabtu) mereka perlu lebih fokus dan kalau boleh kena kurangkan kesilapan. Harap kita dapat beraksi seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, UPSI berjaya meloloskan diri ke perlawanan akhir acara bola sepak SUKIPT 2022 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2-0 pada Rabu.
Dua gol UPSI dijaringkan oleh Mohd Alief Najmi Mohd Radzi pada minit ke 44 sebelum Muhammad Aiman Hakim Jaafar menggandakan kedudukan sembilan minit kemudian.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan perancangan bertemu UiTM, Mohd Azmin mengakui, beliau tidak menolak mungkin akan melakukan beberapa perubahan taktikal buat pasukannya.
Jelas beliau, baki masa yang ada ini akan digunakan sebaiknya olehnya dan barisan kejurulatihan bagi membina skuad ampuh pada perlawanan tersebut.
“Alhamdulillah, setakat ini semua pemain cergas dan bebas dari kecederaan untuk perlawanan akhir nanti.
“Mungkin kita akan ada buat beberapa perubahan dari segi taktikal dan corak permainan pasukan. ia bagi memastikan lawan tidak dapat membaca perlawanan kami.
“Jadi saya harap semua pemain cergas selain sentiasa berada dalam keadaan bersedia pada perlawanan akhir sekiranya mereka diperlukan pada bila-bila masa,”ujarnya.
Untuk rekod, pada edisi lalu, UiTM dinobatkan sebagai juara acara bola sepak SUKIPT selepas menewaskan UIAM 4-0 pada perlawanan akhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!