Perak perhalusi cadangan naik elaun Azeem

Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
A
A
A

KERAJAAN Perak sedang memperhalusi cadangan untuk menyediakan insentif bulanan buat bintang pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, ia merupakan komitmen kerajaan negeri buat atlet kelahiran Perak itu berikutan prestasi cemerlang yang ditonjolkan dalam sukan olahraga.

Menurutnya, Azeem kini hanya menerima elaun bulanan sebanyak RM700 daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

"Kita sudah angkat satu kertas kerja untuk bantu Azeem, cuma Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad minta untuk diperkembangkan lagi komitmen kita itu.

"Jadi, kita sedang menyiapkan dan mengambil kira semua aspek. Ia sebagai satu permulaan kerana kita mempunyai ramai atlet termasuk juara dunia muay thai dan boling," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penyerahan landas bot nelayan darat di Lambor Kanan, Bota di sini pada Jumaat.

Khairul Shahril (kiri) merasmikan penyerahan landas bot nelayan darat di Lambor Kanan, Bota.
Khairul Shahril (kiri) merasmikan penyerahan landas bot nelayan darat di Lambor Kanan, Bota.

Kata Khairul Shahril, beliau turut menyokong keputusan Azeem menolak peluang sebagai atlet profesional yang menawarkan bayaran lumayan untuk fokus pada pelajaran.

"Dia sudah menetapkan tanda aras sendiri untuk aktif dalam sukan.

"Ini memang penekanan kita yang mahu konsep sukan ini sebagai satu kerjaya dari segi pendidikan dan pekerjaan," katanya.

Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen kepada Azeem termasuk menambah elaun bagi memastikan prestasi atlet tersebut pada tahap terbaik.

MSN Perak sudah diarahkan untuk memberi segala bentuk bantuan diperlukan atlet tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!