WHBC luaskan jangkauan ke Australia, pacu industri halal

Hairol (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara HDC dan Austrade pada Februari tahun ini.
Hairol (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara HDC dan Austrade pada Februari tahun ini.
A
A
A

PERSIDANGAN Perniagaan Halal Sedunia (WHBC), forum industri anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) akan meluaskan jangkauannya ke Australia dengan penganjuran WHBC Circuit pertama yang akan diadakan di luar Malaysia di Pullman Albert Park, Melbourne pada 1 hingga 2 September ini.

Dianjurkan oleh HDC dan Perdagangan Australia yang disokong oleh Suruhanjaya Pelaburan (Austrade) dan Kerajaan Negeri Victoria, WHBC Circuit 2022 Australia dilihat dapat menyumbang secara langsung dalam pembangunan keseluruhan industri halal Malaysia dan Australia.

Bertemakan Peluang Halal dalam Dunia Tanpa Sempadan, WHBCC2022 yang kini diadakan untuk tahun ke-14, akan diadakan secara fizikal sepenuhnya dengan menampilkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan wakil kedua-dua negara, kapten industri, ahli perniagaan, komuniti perdagangan dan pemimpin masyarakat dari seluruh dunia, untuk membincangkan, mempromosi dan berinteraksi sepanjang persidangan dua hari itu.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, mengikut terma memorandum persefahaman yang ditandatangani antara HDC dan Austrade pada Februari tahun ini, WHBC Circuit di Australia akan memberi tumpuan kepada inisiatif perniagaan strategik yang terdiri daripada tiga tunggak utama, termasuk promosi pelaburan, rundingan perdagangan dan tenaga pakar halal.

“Kami akan membincangkan isu lazim yang dihadapi oleh industri, dengan tujuan untuk menggalakkan penciptaan kekayaan serta mempromosikan peluang perniagaan halal dalam kalangan pemain industri. Kami akan meneruskan penglibatan kami dengan sesi taklimat meliputi semua bandar utama di seluruh Australia, untuk mewujudkan momentum mengenai potensi lumayan industri halal dan menerangkan peranan utama Malaysia dalam ekosistem industri halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hairol, secara keseluruhannya, ia persidangan yang tidak boleh dilepaskan untuk pemain industri, utusan diplomatik, kapten industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam sektor kerajaan, syarikat multinasional, persatuan perdagangan dan industri serta dewan perniagaan.

“Pada masa ini, negara yang paling banyak mengambil bahagian adalah dari Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura, Filipina dan Kanada. Kami berharap untuk mendapatkan lebih ramai perwakilan dari Eropah, Afrika dan Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanan Perdagangan dan Pelaburan Austrade, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Paul Sanda berbesar hati kerana Australia dipilih sebagai negara tuan rumah pertama untuk WHBC Circuit 2022.

Poster penganjuran WHBC Circuit pertama yang akan diadakan di luar Malaysia di Pullman Albert Park, Melbourne pada 1 hingga 2 September 2022.
Poster penganjuran WHBC Circuit pertama yang akan diadakan di luar Malaysia di Pullman Albert Park, Melbourne pada 1 hingga 2 September 2022.

“Ini adalah peluang unik kepada industri dan perniagaan Australia untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang kerjasama dengan Malaysia untuk memanfaatkan kedua-dua negara secara lebih meluas dalam ekonomi halal global.

“Australia dan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dibina atas kesefahaman bersama tentang nilai kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pelengkap ekonomi kedua-dua negara,” katanya.

Delegasi ke WHBC Circuit Australia dua hari itu bukan sahaja merupakan Persidangan Thought Leadership utama yang akan menampilkan 46 ahli panel dan moderator, mereka juga akan membentangkan enam sesi sampingan mengenai pelbagai subsektor dalam ekonomi halal.

Enam sesi sampingan akan merangkumi pembentangan seperti Salah Tanggapan Mengenai Halal, Pelaburan dalam industri halal di Malaysia, Peluang untuk Start-up Industri Penjagaan Kesihatan, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Sains & Inovasi Halal, dan Media dan Hiburan Halal.

Di samping itu, terdapat pameran penjenamaan 20 syarikat Malaysia dan Australia yang memberi tumpuan kepada Halal Champions.

Bagi ahli platform Halal Integrated Platform (HIP) HDC, sesi padanan Business2Business antara syarikat Malaysia dan Australia turut disediakan, yang diharapkan juga akan dimeterai semasa Majlis Makan Malam Rangkaian Perniagaan bersempena dengan WHBC Circuit Australia, yang akan dihoskan oleh Austrade.

Kemasukan untuk semua sesi dikenakan bayaran sebanyak RM1,000 untuk delegasi dari Malaysia dan AUD300 untuk delegasi Australia/antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut tentang WHBC 2022 dan untuk mendaftar boleh layari whbc.hdcglobal.com.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!