168 mangsa penipuan kerja terkandas di luar negara
SHAH ALAM - Seramai 168 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan kerja dalam talian masih terkandas di luar negara akibat terpedaya dengan helah sindiket yang menjanjikan pendapatan lumayan.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 182 laporan diterima melibatkan 238 orang mangsa sejak tahun 2021 hingga Khamis.
"Daripada 238 mangsa, seramai 168 masih terkandas di luar negara manakala 70 orang mangsa berjaya diselamatkan.
"Mangsa diperdaya dengan iklan peluang kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan melalui aplikasi Facebook dan mangsa akan berhubung dengan ejen menerusi aplikasi WeChat dan WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Noorsiah berkata, pihak sindiket akan mengambil dan memusnahkan dokumen perjalanan mangsa sejurus tiba di negara destinasi malah telefon bimbit mereka turut dirampas.
Katanya, mangsa akan dikurung dan segala pergerakan mereka diawasi dengan ketat oleh pihak sindiket berkenaan.
"Mangsa dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, 'scammer', pelaburan, 'love scam' dan lain-lain penipuan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Noorsiah berkata, seramai empat lelaki dan dua wanita tempatan disyaki ahli sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian ditahan menerusi Op Daya yang dijalankan pada 3 Ogos lalu.
Jelas beliau, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Task Force Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membanteras sindiket berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM turut bekerjasama dengan Kementerian Luar Negara, Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (ASEANAPOL) dalam usaha mengesan rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
"PDRM menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja di luar negara melalui media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!