Sedia dana RM800,000 setahun bantu komuniti RISDA
ALOR GAJAH - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan dana sebanyak RM800,000 di bawah Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dana berkenaan disediakan kepada seluruh komuniti RISDA terdiri daripada golongan B40 terutama anak-anak pekebun RISDA.
Menurutnya, dana berkenaan merangkumi Skim Insentif Pelajar berjumlah RM500 yang diberikan secara 'one-off', Bantuan Sara Hidup Pelajar RM450 sebulan sepanjang pengajian dan Biasiswa Pelajar bermula dari RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).
Katanya, menerusi yayasan sama, RISDA menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off selain Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa sebanyak RM2,000 kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.
"Saya yakin, inisiatif disediakan ini dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda anak-anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.
"Ia sekali gus dapat membantu melancarkan pengajian mereka di UCAM," kata Mahdzir ketika berucap sempena program lawatan ke UCAM di Ayer Paabas, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.
Kata beliau, agensi berkenaan turut memfokuskan kepada bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu melalui pelbagai evolusi selaras perkembangan sistem pendidikan serta keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara khususnya perladangan getah.
Tambahnya, bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada tahun 1957, RISDA kini mempunyai UCAM yang merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) khusus dalam bidang pertanian.
"Difahamkan UCAM berjaya melahirkan lebih daripada 10,000 graduan yang bukan hanya berkhidmat di dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, malah ada yang kini bergelar usahawan serta jutawan," katanya.
Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn Bhd.
MOU itu berkaitan program latihan industri, penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!