Kerjasama ECERDC, SIRIM bimbing 1,064 usahawan Pantai Timur
MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah membimbing seramai 1,064 usahawan di Pantai Timur melalui Program entrepreneur ECER-SIRIM yang dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 170 syarikat berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan mendapat persijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM2.4 juta untuk pelaksanaan Program entrepreneur ECER-SIRIM bermula tahun 2015 hingga 2021 dan ia telah memberi pulangan berganda apabila berjaya membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.
"Seramai 75 usahawan program entrepreneur ECER-SIRIM di Terengganu berjaya mencatatkan jualan tahunan kumulatif RM24.9 juta setahun, meningkat 47 peratus berbanding RM16.9 juta sebelum menyertai program ini.
"Kerajaan sentiasa menyokong program keusahawanan bagi membangunkan usahawan sedia ada supaya mereka mampu bersaing dalam situasi ekonomi yang mencabar.
"Saya harap usaha ini dapat diteruskan supaya produk tempatan dapat dieksport ke luar negara seterusnya memberi impak yang positif kepada perkembangan ekonomi negara," katanya selepas hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Graduasi Program entrepreneur ECER-SIRIM Zon Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rekabentuk Pembungkusan dan Keselamatan SIRIM Berhad, Rafidah Mokhdar dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.
Program entrepreneur ECER-SIRIM yang telah dilaksanakan sejak tahun 2013 berperanan memberi bimbingan dan latihan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menambah baik kualiti produk, pelabelan dan penjenamaan, pensijilan Halal, serta pengurusan kewangan dan pasaran.
Ini adalah bagi memastikan para usahawan dapat meningkatkan lagi keupayaan untuk mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Baidzawi berkata, ECERDC turut membantu memudahkan penyertaan usahawan ECER dalam misi perdagangan dan promosi antarabangsa seperti Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) untuk membimbing mereka menembusi pasaran global.
"Walaupun sewaktu pandemik, usaha untuk membantu usahawan melebarkan jaringan perniagaan tetap diteruskan melalui sesi padanan perniagaan secara atas talian dengan kerjasama SIRIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
"Hasilnya, beberapa syarikat usahawan di bawah Program entrepreneur ECER-SIRIM dari negeri Terengganu iaitu Syarikat Tenang Resepi, Hasan Majid dan Softa Marketing Sdn Bhd telah berjaya mendapat tempahan dengan nilai jualan keseluruhan RM600,000 setahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!