Zaid terima dengan terbuka keputusan Najib
SHAH ALAM - Firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners menjelaskan sudah melakukan yang terbaik untuk Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhir berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International.
Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berkata, firma guamannya itu menerima dengan hati terbuka keputusan Najib untuk menghentikan khidmat mereka.
Malah, beliau menegaskan memberi sokongan penuh dan persetujuan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Najib itu.
"Saya menegaskan kembali kenyataan terdahulu bahawa firma saya tidak akan meninggalkan Najib sebagai anak guam kami. Itu bukan budaya atau tradisi kami.
"Namun, tuntutan situasi semasa yang luar biasa menyebabkan kami perlu mengikut keperluan anak guam. Kepentingan anak guam diutamakan.
"Saya mendoakan yang terbaik untuk Najib. Saya akan sentiasa membantunya dalam apa jua keadaan, sebagai peguam dan sahabat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum prosiding akhir rayuan pada Jumaat, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa peguam cara, firma guaman ZIST diberhentikan khidmat bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Zaid, keputusan itu juga dibuat atas kepercayaan bahawa pasukan peguam bela beliau tidak lagi boleh memberikan sebarang khidmat yang berguna dalam pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"Najib percaya bahawa andaian lazim mahkamah bahawa penyusunan semula pasukan pembelaan akhir bulan lalu adalah sebahagian daripada muslihat taktikal untuk menyekat dan melengahkan prosiding atau melambatkan keputusan akhir dan hukuman yang akan dijatuhkan.
"Sebagai seorang ahli politik sendiri, saya boleh sahkan bahawa andaian itu adalah jauh daripada kebenarannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!