Penghuni pusat pemulihan dadah maut disyaki dipukul

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris
A
A
A

IPOH - Seorang penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas maut dengan beberapa kesan luka dan lebam di anggota badan termasuk muka dipercayai dipukul, Rabu lepas.

Lelaki berusia 25 tahun itu meninggal dunia setelah ditemui berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika ditempatkan di bilik tetamu pusat berkenaan sekitar jam 7.45 malam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa ditempatkan di bilik tetamu itu dengan kaki dan tangan diikat kain bagi mengelak mangsa mengamuk dan melarikan diri.

Menurutnya, pada hari kejadian sekitar jam 1.45 petang, mangsa dikatakan cuba mencederakan seorang warden menggunakan pisau ketika mahu melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

"Mangsa berjaya ditenangkan selepas berlaku pergelutan dengan cara warden beberapa kali menumbuk pada bahagian badan mangsa.

"Bagaimanapun pada jam 4.45 petang, mangsa cuba melarikan diri sekali lagi dengan terjun dari tingkat satu bangunan berketinggian hampir lapan meter.

"Selepas berjaya ditangkap semula, mangsa diikat dan ditempatkan di bilik tetamu, ketika itu mangsa dikatakan beberapa kali menghentak kepalanya di lantai dan dinding sehingga luka berdarah," katanya dalam kenyataan kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Azizi berkata, warden yang membuat pemeriksaan di bilik tetamu mendapati, mangsa tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar menaiki kereta untuk pemeriksaan.

Katanya, doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa di dalam kereta mendapati, mangsa telah tidak bernyawa.

"Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati, terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan.

"Bedah siasat yang dijalankan hari ini mengesahkan, sebab-sebab kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan akibat trauma tumpul," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang ustaz dan tiga warden pusat pemulihan dadah terbabit bagi siasatan lanjut.

"Kes kini diklasifikasikan sebagai 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!