TNB, Petronas jalin kerjasama capai pelepasan karbon sifar

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) ketika majlis menandatangani MoU antara TNB dan Petronas.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) ketika majlis menandatangani MoU antara TNB dan Petronas.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melaksanakan peralihan tenaga bertanggungjawab seiring dengan usaha kerajaan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, detik sejarah memacu peralihan tenaga itu sekali gus menyokong agenda nasional terhadap komitmen Perjanjian Paris.

"Malaysia telah membuat komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen. Ia merangkumi keprihatinan Malaysia terhadap isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan peralihan tenaga.

"Aspirasi ini memerlukan kerjasama erat dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan terutama dalam sektor tenaga yang merupakan enjin pertumbuhan kritikal ekonomi Malaysia dengan peranannya mendorong kegiatan dalam pelbagai sektor.

"TNB melalui Hala Tuju Kelestarian 2050 dan Petronas dengan aspirasinya telah berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih, sejajar sasaran kerajaan mahu menjadikan Malaysia negara neutral karbon menjelang 2050," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, kerjasama dua syarikat gergasi tenaga ini akan mempercepatkan perjalanan nyah karbon sektor tenaga negara yang menjadi kunci kejayaan peralihan tenaga.

Takiyuddin berkata, ia akan dicapai terutama melalui pembangunan ekosistem hidrogen hijau dan teknologi memerangkap serta menyimpan karbon dengan memanfaatkan kepakaran teknikal serta sumber kedua-dua pihak TNB dan Petronas.

"Kerajaan mengalu-alukan inisiatif ini yang akan dimulakan dengan penjanaan semula Stesen Janakuasa Sultan Ismail TNB di Paka, Terengganu yang berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada negeri pantai timur. Lebih penting lagi, inisiatif ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara yang meletakkan sasaran 40 peratus kapasiti terpasang pada 2035," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!