'Lunas hutang PTPTN, jangan jadi graduan manja'
POKOK SENA - Graduan seharusnya bijak merencana kehidupan selepas memiliki segulung ijazah termasuk perancangan untuk membayar semula hutang pengajian.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, graduan tidak seharusnya menjadi manja dengan mengharapkan gaji bulanan untuk melunaskan hutang pinjaman, sebaliknya proaktif dan komited membayar pinjaman selepas kerajaan membantu pengajian mereka.
Menurutnya, penangguhan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara potongan gaji berjadual (PGB) akan memberi sedikit kelegaan kepada peminjam, namun mereka disaran merancang pembayaran bersesuaian.
“Gunakan tempoh masa itu untuk rancang pembayaran balik, memandangkan kerajaan sudah minta mekanisme dikaji semula untuk disesuaikan dengan kemampuan peminjam,” katanya, selepas program sumbangan Kembali Ke Sekolah peringkat Dun Bukit Lada, hari ini.
Mahfuz berkata, dalam tempoh itu, semua pihak termasuk peminjam harus bantu semula kerajaan, khususnya graduan yang telah bekerja.
“Tidak boleh ada persepsi jika dapat kerja makan gaji dengan kerajaan, baru nak bayar semula. Tak bolehlah tunggu kerja tu datang, mahasiswa harus proaktif , inovatif dan produktif untuk cari pendapatan,” katanya.
Menurutnya, sepatutnya tempoh pengajian mematangkan pemikiran siswazah untuk bijak mencari sumber kewangan, bagi menanggung kos hidup termasuk langsai hutang pengajian.
“Sepatutnya begitu, tetapi yang berlaku masing-masing harapkan kerja makan gaji, baru nak bayar. Ini tidak seharusnya berlaku. Dengan segulung ijazah seharusnya mereka bijak merancang masa depan dan berusaha,” katanya.
Mahfuz berkata, sekiranya kerajaan mengambil sikap terbuka dengan menerima pandangan dan keluhan peminjam PTPTN, mereka juga harus melakukan perkara sama terhadap kerajaan.
“Keputusan tangguh bayaran balik PTPTN menunjukkan sikap keterbukaan menteri yang prihatin dengan suara graduan yang masih belum mampu beri komitmen bayar pinjaman. Namun selepas tempoh berakhir, mereka pula harus komited bantu kerajaan selepas kerajaan bantu mereka dalam pengajian,” katanya.
Menurutnya, walaupun hasrat awal kerajaan PH mahu mansuhkan pembayaran balik PTPTN, namun hasrat itu tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini.
“Walaupun itu hasrat kita, mungkin dalam jangka masa panjang boleh dipertimbangkan semula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!