Kemalangan jadikan Anas OKU
SUNGAI PETANI - Peristiwa hitam terlibat kemalangan 14 tahun lalu tidak mungkin dilupakan buat seorang pemuda di sini apabila perlu menerima hakikat dirinya hilang upaya kekal.
Ahmad Zarrin Anas Ahmad Kamal, 31, berkata, kejadian itu menyebabkan dirinya yang dilahirkan normal, kini berstatus orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia di Tingkatan 5 dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Teknik Kulim (kini dikenali Kolej Vokasional Kulim) sebelum motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain.
"Akibat kemalangan itu, kedua-dua tangan saya patah, kaki kiri pula terpaksa dipotong sehingga ke pangkal paha menyebabkan saya hilang upaya untuk bergerak serta perlu mengharapkan bantuan sepanjang masa," katanya ketika ditemui di sebuah butik pakaian terpakai di sini.
Ahmad Zarrin Anas atau lebih mesra dipanggil Anas kemudian dijaga oleh nenek di Alor Setar, Kedah memandangkan ibu bapanya berpisah.
"Selama setahun saya terlantar dan mengambil masa dua tahun untuk menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah sebelum mampu berdikari.
"Saya fikir tak boleh duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa kerja kerana menyebabkan berat badan bertambah, jadi saya pilih untuk bekerja.
"Pada awalnya, saya jadi pembancuh air di kedai kopi dengan bantuan tongkat dan kerusi roda yang membantu pergerakan.
"Disebabkan banyak masalah dan pelanggan semakin kurang, kedai kopi ditutup," katanya.
Lebih mendukacitakan, nenek yang amat dikasihi meninggal dunia menyebabkan Anas membawa diri menggunakan motosikal roda tiga miliknya.
Jelas Anas, bermacam-macam kerja pernah dicuba bagi menampung kehidupan termasuk di kedai dobi, namun dengan keadaan berkerusi roda, tidak banyak majikan yang memberi peluang kepadanya.
Setelah beberapa tahun mencari hala tuju, akhirnya Anas diterima bekerja sebagai pembantu butik pakaian terpakai di Taman Ria Jaya, Sungai Petani.
Selain melayan pelanggan, Anas juga ditugaskan sebagai penjaga kaunter.
"Saya ingin buktikan biarpun serba kekurangan, namun saya tetap mahu bekerja seperti insan normal, ada pendapatan dan melakukan apa yang diingini.
"Premis tempat saya bekerja ini dua tingkat, saya cuba mengengsot naik ke tingkat atas melalui tangga kerana ingin melihat apa yang ada di atas, namun masih memerlukan latihan dan stamina tinggi.
"Setakat ini saya mampu bekerja, disokong majikan yang mengambil berat menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menyumbang sesuatu kepada komuniti," katanya yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Merbok yang diuruskan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Anas berharap, biarpun banyak cabaran yang perlu dilalui, golongan OKU dan rakan senasib dengannya harus diberikan peluang serta tiada diskriminasi untuk berada dalam kelompok masyarakat bagi membuktikan mereka mampu berjaya seperti insan normal lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!