Video parti tular, PM Finland jalani ujian dadah

Video Perdana Menteri Finland berpesta bersama selebriti dan tokoh masyarakat tular di media sosial baru-baru ini.
Video Perdana Menteri Finland berpesta bersama selebriti dan tokoh masyarakat tular di media sosial baru-baru ini.
A
A
A

ANKARA - Perdana Menteri Finland, Sanna Marin pada Jumaat berkata beliau telah menjalani ujian saringan bagi mengesan penggunaan dadah selepas video menari bersama rakan-rakannya di sebuah parti tersebar.

Keputusan ujian itu dijangka dapat diketahui minggu depan, lapor Agensi Anadolu.

"Walaupun ketika remaja, saya tidak mengambil sebarang jenis dadah...tetapi saya tetap mengambil ujian saringan itu sebagai langkah untuk meredakan kebimbangan,” katanya pada satu sidang media.

Terdahulu dalam satu wawancara dengan akhbar Helsingin Sanomat, pengerusi parti pembangkang Finland, Riikka Purra meminta Marin secara sukarela mengambil ujian itu.

Baru-baru ini video Perdana Menteri berpesta bersama selebriti dan tokoh masyarakat tular di media sosial.

Marin berkata, acara itu tertutup dan diadakan di kediamannya beberapa minggu lalu, rakaman itu untuk simpanan peribadi dan terkilan kerana video berkenaan telah tular.

Beliau berkata, tiada sebarang penggunaan dadah pada majlis itu dan beliau hanya meminum minuman beralkohol secara sederhana.

"Saya juga orang biasa dan menjalani kehidupan yang biasa. Saya ada kerja dan juga keluarga, ada masa lapang untuk bersama rakan-rakan saya. Sama seperti orang lain yang sebaya dengan saya," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!