Penutupan jalan berfasa, kerja naik taraf saliran
SUBANG JAYA - Penutupan jalan bagi kerja naik taraf sistem saliran di Jalan SS 19/7 telah dilaksanakan secara berfasa sejak 12 Ogos lalu dan dijangka selesai selewatnya Oktober depan.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, projek itu dilaksanakan bagi menangani isu banjir kilat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lick Hung dan Masjid Abu Bakar As-Siddiq.
Menurutnya, penutupan jalan dilakukan secara dua fasa bagi melancarkan kerja pemasangan 'Box Culvert With Dry Weather Flow’ di sebahagian Jalan SS 19/7.
"Fasa satu bermula dari Restoran Choy Kee dan Pusat Tuisyen Literasi sepanjang 80 meter yang dilaksanakan sejak 12 Ogos lalu hingga 12 September 2022.
"Ia disusuli fasa dua melibatkan penutupan jalan bagi di belakang Klinik Dr Rosli sehingga simpang Jalan SS19/7 dan SS19/7A bermula 13 September sehingga 13 Oktober 2022," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, MBSJ telah menyediakan penunjuk arah lalu lintas, notis pemberitahuan serta penghadang di lokasi terlibat untuk melancarkan aliran lalu lintas.
"Pengguna disaran untuk menggunakan jalan alternatif di Jalan SS 19/2.
"Pembukaan semula jalan akan dilaksanakan pada 27 Oktober depan setelah selesai kerja-kerja naik taraf sistem saliran," ujarnya.
Dalam pada itu, Azfarizal pelanggan disarankan untuk terus melayari laman sesawang MBSJ di www.mbsj.gov.my dan platform media sosial rasmi MBSJ untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!