Quartararo, Espargaro bantah idea perlumbaan sprint

Acara perlumbaan sprint bagi perlumbaan MotoGP bakal diperkenalkan pada 2023. - Foto Gold and Goose Photography (Gambar kecil: Quartararo)
Acara perlumbaan sprint bagi perlumbaan MotoGP bakal diperkenalkan pada 2023. - Foto Gold and Goose Photography (Gambar kecil: Quartararo)
A
A
A

DUA pelumba yang menduduki dua tempat teratas bagi saingan Grand Prix Motosikal (MotoGP) melibatkan pelumba Yahama, Fabio Qurtararo dan Aleix Espargaro jelas membantah idea bagi mewujudkan acara perlumbaan 'sprint' (pecut) mulai musim 2023 kelak.

Menurut Quartararo yang sedang melakukan persiapan bagi mengharungi saingan GP Austria di Litar Red Bull pada Ahad, idea berkenaan tidak sepatutnya dilaksanakan kerana ia hanya akan menambahkan lagi beban sedia ada kepada kesemua pelumba.

Tanpa berselindung, Quartarato turut menegaskan, idea itu sebagai cadangan yang 'bodoh.'

"Bagi saya ia satu cadangan 'bodoh' untuk dilaksanakan. Lagipun pada kebiasaannya, perlumbaan akan berlangsung pada Ahad.

"Tetapi dengan adanya perlumbaan pecut yang dikatakan akan diadakan pada Sabtu, ia pasti akan menambahkan tekanan kepada pelumba.

"Saya juga tidak tahu bagaimana idea mengenai perkara ini boleh dicetuskan dan yang menimbulkan tanda tanya kami (pelumba) juga tidak dipanggil untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.

Untuk rekod, cadangan berkenaan akan diumumkan pihak Dorna sempena GP Austria pada Ahad.

Setakat ini difahamkan, rata-rata pelumba menyambut dengan positif cadangan itu yang sebelum ini sudah pun diperkenalkan pada Kejohanan Superbike Dunia 2019 lalu.

Sementara itu, pelumba Aprillia, Espargaro turut bersetuju idea itu cadangan yang 'bodoh.'

"Perlumbaan ini (MotoGP), berbeza dengan Superbike. MotoGP melibatkan banyak perkakasan elektronik, aerodinamik dan lain-lain termasuk dari segi kejuruteran jentera.

"Oleh itu, bagi mencapai tahap 'setting' terbaik, sudah pasti agak sukar. Kami mungkin akan berjumpa dengan pihak Dorna dan bercakap mengenai perkara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!