Hentikan serangan peribadi terhadap Ketua Hakim Negara

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto Bernama
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Serangan peribadi terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan prosiding rayuan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd perlu dihentikan serta-merta.

Timbalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut tidak beretika dan mengganggu badan kehakiman serta mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

Katanya, serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

“Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara.

"Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi.

"Walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan, namun ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan secara peribadi, apatah lagi disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini dilaporkan menerima ugutan dan ancaman menerusi beberapa hantaran di laman sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah pun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.

Tambah Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.

"Setiap daripada rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti institusi badan kehakiman senantiasa dipertahankan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!