Moral pemain JDT merosot selepas ketinggalan dua gol
DUA jaringan awal Urawa Red Diamonds telah ‘membunuh’ semangat Johor Darul Ta’zim (JDT), ketika tewas 0-5 pada pertembungan pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 di Stadium Saitama 2002 di Jepun, pada Jumaat.
Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio mengakui moral pemainnya mula merosot ketika berdepan kelab dari Jepun itu, selepas dibolosi awal melalui sepakan penalti Alexander Scholz pada minit kelapan dan sepakan percuma yang disudahkan David Moberg Karlsson pada minit ke-19.
"Kami juga tidak melakukan hantaran-hantaran seperti biasa, sebaliknya melakukan hantaran bola jauh. Saya ingatkan pemain supaya sentiasa berpegang kepada falsafah permainan kami dan menggerakkan bola lebih baik pada separuh masa kedua, dari segi cara kami mahu bermain sebagai sebuah pasukan.
"Ia bukan mudah bermain menentang kelab-kelab dari Jepun. Mereka adalah gergasi Asia dan Urawa juga merupakan juara dua kali. Kami akan mempertingkatkan diri tetapi ia akan mengambil masa,” katanya dalam hantaran Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers pada Sabtu.
Bidoglio juga menyifatkan tiada ruang untuk membuat kesilapan apabila beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak Asia, dengan aspek kesedaran dan keupayaan membuat keputusan barisan pemain adalah sangat penting.
Pada masa sama, beliau berkata, setiap tahun JDT menunjukkan kemajuan dalam kempen Liga Juara-Juara AFC dan beliau percaya perkara itu akan berterusan, sambil memberi jaminan skuad Harimau Selatan akan terus berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
Pada aksi semalam, Urawa Red Diamonds mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Scholz dan Karlsson yang turut mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-39, sebelum pemain gantian Kasper Junker meledak dua gol masing-masing pada minit ke-84 dan pada masa kecederaan babak kedua.
Kekalahan di tangan skuad bimbingan Ricardo Rodriguez Suarez itu yang merupakan juara edisi 2007 dan 2017, menafikan peluang JDT untuk mencipta satu lagi sejarah dengan layak ke suku akhir, selepas menjadi kelab Malaysia pertama melepasi saingan peringkat kumpulan.
Kini, perjuangan JDT tertumpu kepada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu FC yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 10 September ini, selain dilihat berpotensi untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super kali kesembilan berturut-turut.
JDT kini selesa menerajui saingan Liga Super selepas 14 perlawanan dengan mengumpul 38 mata, meninggalkan pencabar terdekat Sabah FC yang sudah mengharungi 16 aksi di tempat kedua (35 mata) sementara Negeri Sembilan yang beraksi 17 perlawanan mengutip 32 mata di tempat ketiga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!