Penuntut Malaysia dibenar masuk ke China mulai 24 Ogos
KUALA LUMPUR - Pelajar asing yang memegang permit belajar di China dan masih sah akan dibenarkan memasuki negara itu mulai 24 Ogos, menurut Kedutaan China di Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, kedutaan memaklumkan mulai sekarang pihaknya akan menerima permohonan visa pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di China.
"Kerajaan China amat memberi perhatian mengenai pelajar asing untuk kembali menyambung pengajian ke China. Jabatan yang bertanggungjawab dari China dan Malaysia telah bekerjasama rapat dalam hal ini dan telah mencapai beberapa kemajuan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kakitangan berkaitan telah diminta untuk memberi perhatian kepada notis terkini yang dikeluarkan di laman sesawang kedutaan dan platform berkaitan yang lain.
Menurut laporan media, kira-kira 8,000 pelajar Malaysia tidak dapat kembali semula ke China untuk menyambung pengajian akibat sekatan pergerakan Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!