Identiti seorang mangsa rentung dikenal pasti
SANDAKAN - Identiti seorang daripada tiga mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah di Taman Rajawali di sini, kira-kira jam 10 malam Jumaat sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa adalah lelaki yang dikenali sebagai Chin Seong Vui, 54, manakala identiti dua lagi sedang dikenal pasti.
"Hasil siasatan awal mendapati rumah itu didiami seorang lelaki dan dua perempuan. Mayat mangsa lelaki sudah berjaya dikenal pasti manakala dua lagi mayat perempuan belum diketahui identiti mereka.
"Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, punca kejadian dan nilai kerugian akibat kebakaran rumah dua tingkat jenis kekal itu masih dalam siasatan.
"Kes kematian ketiga-tiga mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, tiga individu ditemukan rentung di bahagian ruang tamu selepas rumah dua tingkat itu terbakar kira-kira jam 10 malam Jumaat.
Pemeriksaan bomba kemudian menemui tiga mangsa rentung di bahagian ruang tamu tingkat bawah kediaman berkenaan yang didapati musnah 90 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!