SUKIPT 2022: Esther akur tumpas kepada kakak

Crystal (kanan) bersama adiknya Esther bergambar bersama pingat yang dimenangi mereka dalam acara perseorangan wanita ping pong SUKIPT 2022.
Crystal (kanan) bersama adiknya Esther bergambar bersama pingat yang dimenangi mereka dalam acara perseorangan wanita ping pong SUKIPT 2022.
A
A
A

HASRAT Atlet ping pong Universiti Putra Malaysia (UPM), Esther Tiong Hui Liang untuk menggondol dua emas dalam acara itu tidak kesampaian.

Sebaliknya, Esther terpaksa akur apabila tumpas kepada kakaknya, Crystal Tiong Hui Man yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada perlawanan akhir perseorangan wanita Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 pagi tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan masing-masing mempamerkan corak permainan bertenaga sebelum Crystal mencatat kemenangan 11-7, 10-12, 11-7 dan 18-16.

Crystal yang juga atlet negara di Sukan Universiti Asean (AUG) baru-baru ini menyifatkan pengalaman yang dimilikinya dalam acara terbabit menjadi kunci kepada kemenangannya.

“Perlawanan tadi sangat baik dan sengit sebab saya tahu rentak permainannya, begitu juga dia. Cuma, mungkin kelebihan buat saya sebab ada lebih pengalaman.

“Bagaimanapun, Esther seorang pemain yang cukup berbakat dan dia juga sudah pamerkan banyak peningkatan daripada sebelum ini. Prestasi dia sangat bagus sekarang," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan.

Sementara itu, Esther mengakui dia tidak berada pada tahap terbaiknya ketika beraksi dalam perlawanan akhir itu.

“Dalam perlawanan tadi saya agak tertekan, selain kepenatan memandangkan sebelum itu saya beraksi dalam final beregu wanita,” jelasnya.

Sebelum itu, Esther bersama gandingannya, Chew Wen Qian berjaya meraih pingat emas buat UPM selepas menang dalam acara beregu wanita dengan menewaskan pasangan Universiti Malaya 9-11, 14-12, 11-8, 11-8.

Bagi acara perseorangan lelaki pula, atlet Sunway Universiti, Tan Yi Heng muncul juara selepas menewaskan Lee Yee Jat dari Kolej Universiti Tungku Abdul Rahman (TARUC) 9-11, 11-8, 11-7 dan 11-6.

Dalam acara beregu lelaki pula, emas dimenangi pasangan Sunway University, Danny Ng Wann Sing dan Choong Javen yang tidak berdepan masalah untuk menidakkan cabaran UPM menerusi kemenangan straight set, 11–7, 11-5, dan 11-5.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!