Zulfiqar laung amaran bangkit di Sukma
ATLET pecut lelaki negara, Muhammad Zulfiqar Ismail melaungkan amaran akan bangkit lebih garang selepas gagal meraih emas dalam acara 100 meter (m) temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).
Menurut Muhammad Zulfiqar, latihan singkat selama satu minggu menyebabkan dia gagal mempamerkan aksi yang baik.
Justeru, dia menyasarkan Sukan Malaysia (Sukma) pada September depan sebagai medan untuk menebus kekecewaan selepas gagal beraksi dengan baik di SUKIPT 2022.
“Saya akui prestasi saya kurang memuaskan pada temasya ini. Ia disebabkan saya sudah hampir 20 hari tidak menjalani latihan.
"Malah waktu sesi memanaskan badan tadi, saya sudah mula rasa lesu namun cuba untuk main psikologi tetapi ternyata tidak berjaya.
“Jadi baki beberapa minggu ini sebelum Sukma nanti, saya akan gunakan sebaiknya untuk menjalani latihan penuh dan kembalikan semula prestasi saya sebelum ini. Saya mahu bangkit kembali di temasya ini,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Dalam acara 100m lelaki akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Zulfiqar terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10.90 saat (s).
Emas acara itu dimenangi atlet Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Fakhrul Abadul dengan catatan masa 10.73 saat (s).
Perak dimenangi atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohamad Raimi Mustaffa dengan catatan masa 10:87 s manakala gangsa dimenangi wakil tuan rumah Muhammad Yusridzwan Danial Yusof (10.88 s).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!