Persatuan harus bertanggungjawab pengguguran acara sukan

Khairul Shahril (enam dari kiri) dan Mohd Annuar (enam dari kanan) bergambar bersama belia yang hadir selepas Majlis Pelancaran Perak Food Hunter 2.0 di sebuah hotel di Ipoh pada Sabtu.
Khairul Shahril (enam dari kiri) dan Mohd Annuar (enam dari kanan) bergambar bersama belia yang hadir selepas Majlis Pelancaran Perak Food Hunter 2.0 di sebuah hotel di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

PERSATUAN sukan yang terlibat dengan pengguguran 12 acara pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 perlu bertanggungjawab terhadap isu yang berlaku.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, persatuan-persatuan sukan sepatutnya memastikan rangkaian mereka di negeri-negeri mempersiapkan atlet untuk kejohanan tersebut.

Menurutnya, pengguguran acara di saat akhir amat tidak wajar dan tidak adil kepada atlet-atlet yang telah membuat persediaan.

"Saya kecewa dengan persatuan sebenarnya, bukan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana KBS mengambil maklum perkara ini setelah dibincangkan bersama pihak teknikal dan Exco-exco kerajaan negeri yang lain.

"Saya harap persatuan-persatuan sukan agar lebih bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan.

'Kita mesti menjayakan demi pembangunan sukan kita dan demi pengorbanan yang telah atlet lakukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perak Food Hunter 2.0 di sebuah hotel di Ipoh pada Sabtu.

Hadir menyempurnakan perasmian tersebut, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Khairul Shahril berkata, terdapat atlet yang membuat persiapan selama empat tahun untuk menyertai kejohanan tersebut.

Sementara itu, jelas Khairul Shahril, kontinjen Perak mempunyai atlet dalam kesemua 12 acara yang digugurkan itu.

Malah menurutnya, terdapat beberapa acara yang berpotensi menyumbang pingat kepada negeri bagi Sukma kali ini.

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Beliau dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan sebanyak 12 acara sukan terpaksa digugurkan di dalam Sukma 2022 kerana penyertaan kurang daripada enam kontinjen seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia.

Bagi menangani isu yang dibangkitkan itu, kementerian menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSNg) dan juga Persatuan Sukan Negeri telah melaksanakan langkah penambahbaikan dan penelitian semula program-program pembangunan di negeri-negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!