Ibu tunggal peroleh RM5,000 sebulan jual nasi dagang

Zainah bersama sijil penghargaan yang diperoleh sempena Majlis Graduasi MEKAR Kuala Nerus, pada Sabtu.
Zainah bersama sijil penghargaan yang diperoleh sempena Majlis Graduasi MEKAR Kuala Nerus, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Berkat usaha dan semangat untuk mengubah nasib keluarga, seorang ibu tunggal mampu meraih RM5,000 sebulan hasil jualan nasi dagang sejak menyertai Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) oleh Yayasan Petronas.

Memulakan perniagaan sejak 1992, Zainah Mohd Nor, 62, menyara kehidupan dengan membuat juadah sarapan pagi seperti nasi dagang, nasi minyak dan nasi lemak yang dihantar ke beberapa gerai dan kedai makan sekitar daerah Kuala Nerus.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, hasil jualan perniagaannya kini melonjak daripada RM1,500 kepada RM5,000 sebulan sejak menyertai program itu pada 2020.

"Selepas mengikuti program MEKAR banyak perkara baharu yang saya pelajari antaranya kaedah mengiklankan perniagaan di media sosial.

"Di samping itu, saya juga dapat menambah kenalan dalam kalangan usahawan lain sekali gus membantu saya mempromosikan lagi perniagaan ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi MEKAR Kuala Nerus, di sini, pada Sabtu.

Zainah yang tinggal di Rumah Murah Teluk Ketapang, Seberang Takir memberitahu rutin hariannya seawal jam 3 pagi untuk menyiapkan semua jenis makanan tersebut sebelum dihantar ke kedai.

"Ketika memulakan perniagaan pada 1992, anak-anak bantu untuk jual juadah di sekolah dengan harga 30 sen sebungkus. Pada 2017, saya memperoleh pendapatan sekitar 1,500 sebulan dengan membekalkan sarapan di kedai iaitu nasi dagang, nasi minyak dan nasi lemak.

"Selepas mengikuti Program Planting Tomorrow pada 2018 dan Program MEKAR, saya berjaya melangkah keluar daripada keluarga berpendapatan B40. Ia juga hasil sokongan dan bantuan oleh empat anak saya," katanya kehilangan suami tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program MEKAR berjaya mencapai objektif apabila 35 peserta telah mencapai sasaran bulanan ditetapkan, termasuk peningkatan pendapatan secara kolektif melebihi 100 peratus.

Katanya, produk lima peserta MEKAR juga juga berjaya menembusi beberapa pasar raya serta platform perniagaan dalam talian.

Jelas beliau, Program MEKAR adalah salah satu usaha berterusan Yayasan Petronas bagi menyokong kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40 di beberapa negeri terpilih di negara ini.

"Kita telah menjalankan beberapa kolaborasi antaranya bersama Yayasan MyKasih dan kerjasama agensi pembangunan keusahawanan tempatan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

"Sepanjang mengikuti program, setiap peserta dibekalkan dengan kemahiran pengurusan perniagaan seperti pengenalan kepada asas perakaunan seperti percukaian, penyediaan penyata untung rugi, merekod aliran tunai harian dan perbelanjaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!