Wad kelas tiga percuma Jun ini
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri dijangka dapat menunaikan janji manifesto memberi caj percuma wad kelas tiga di semua hospital kerajaan di negeri ini bermula Jun nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, janji tersebut lewat dilaksanakan kerana tidak mendapat ‘restu’ dari Kementerian Kesihatan (KKM).
“Perkara ini sudah siap bulan Januari lagi dengan bajet pun sudah lulus. Kita kemuka kepada KKM tapi tidak direstui.
“Ketika ini kita masih berbincang secara adik beradik dengan Kerajaan Pusat dan sekiranya masih tidak direstui maka kita akan laksanakan pelan lain yang kita rancang,” katanya menjawab soalan lisan Alias Harun (Pas-Rantau Abang) mengenai bilakah pelaksanaan memberi caj percuma wad kelas tiga dapat dikuatkuasakan.
Menurut beliau, KKM menolak cadangan yang diberikan dengan alasan bimbang berlaku lambakan pesakit di wad kelas tiga di hospital Terengganu selain jumlah katil sedia ada di wad tersebut tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.
Beliau berkata, surat yang diterima dari KKM juga menyebut pelaksanaan cadangan ini akan menyebabkan peningkatan kos pentadbiran, penambahan bilangan kakitangan khusus untuk menyemak bil akan dituntut pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selain Unit Hasil hospital sendiri mengalami masalah kekurangan kakitangan.
“Alasan lain adalah ketiadaan sistem yang teratur bagi menyelanggara pelaksanaan pemberian kemudahan rawatan itu dikhuariti menimbulkan isu audit pada masa hadapan dan kos untuk membangunkan sistem teknologi maklumat (IT) di hospital semata-mata bagi tujuan itu adalah tinggi,” katanya.
Bagaimanapun Alias berkata, kerajaan negeri mempunyai mekanisme pelaksanaan yang kemas termasuk menempatkan seorang pegawai di hospital untuk urusan bil dan diyakini tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
"Cadangan kita mudah saja, pihak hospital hantar bil pada Setiausaha Kerajaan Negeri dua minggu sekali dan kita akan bayar, tetapi ia turut ditolak oleh kementerian.
"Justeru kita akan tempatkan pegawai di hospital khusus untuk melaksanakan pembayaran bil wad pesakit kepada hospital. Jika Kerajaan Persekutuan menerusi kementerian tidak mahu tanggung gaji pegawai tidak mengapa, kerajaan negeri akan bayar," katanya.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma untuk wad kelas tiga yang dirancang dalam PRU14 lalu.
Caj wad kelas tiga yang dibayar pesakit di hospital di negeri ini berjumlah RM3.89 juta dengan jumlah pesakit 84,946 pada 2017 dan RM3.6 juta membabitkan 76,206 pesakit pada 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!