SPRM tahan arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta
PUTRAJAYA - Seorang arkitek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah anggaran RM3 juta berkaitan sebuah projek pembangunan di pantai timur.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.
Sumber berkata, lelaki tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 6 petang Jumaat.
"Dia disyaki terlibat dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.
"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!