Bayi 4 bulan maut di rumah pengasuh selamat dikebumikan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AMPANG - "Alhamdulillah, selesai hantar dekat rumah baharu anak syurga kami," itu luahan Mohd Amiruddin Tumijan yang memuat naik hantaran di Facebooknya pada Jumaat, selepas kehilangan anak bongsunya, Putra Adam Amsyar Muhammad Amiruddin, berusia empat bulan.

Pada Khamis, Putra Adam Amsyar meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas mukanya tertutup dengan kain lampin ketika di dalam buaian di rumah pengasuhnya di sebuah kondominium di Taman Cempaka di sini.

Mohd Amiruddin turut berterima kasih kepada semua pihak yang hadir serta mendoakan sejurus selesai urusan pengebumian anaknya.

"Adam, tunggu mummy dengan daddy dekat sana ye, terima kasih pernah menyerikan hidup kami walaupun untuk beberapa bulan. Allah lebih sayang Adam. Terima kasih sayang," ujarnya.

Difahamkan Mohd Amiruddin menghantar Putra Adam Amsyar ke rumah pengasuh terbabit yang berdekatan dengan kediamannya sejak dua bulan lalu.

Dia mengenali pengasuh itu selepas membuat carian di laman sosial Facebook.

Mohd Amiruddin menyangka pengasuh adalah orang tempatan kerana cara percakapannya, dia hanya mengetahui yang wanita itu adalah warga asing selepas polis menahannya malam Jumaat.

Menurut Mohd Amiruddin, anaknya itu menghidap masalah Gerd sejak lahir dan masih menerima rawatan pakar di Hospital Sungai Buloh.

"Selain anak kami, pengasuh terbabit juga ada menjaga anak orang lain," katanya yang mempunyai dua lagi anak perempuan.

Pada Jumaat media melaporkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang juga warga Indonesia berusia 26 tahun sudah direman semalam, bagi membantu siasatan.

Pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang menerima pesakit yang juga bayi berusia empat bulan pada jam 6.30 petang Khamis.

Pesakit dibawa dari sebuah klinik di Pandan Indah dengan ambulans Hospital Ampang. Bagaimanapun, tiba di Hospital Ampang, pesakit disahkan sudah meninggal dunia.

Hasil siasatan awal, suspek memaklumkan, bayi berkenaan sesak nafas kerana kain lampin di dalam buai menutup mukanya.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa sedang bekerja manakala bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!