'Ogos bulan istimewa bagi saya'
JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Seorang peneroka Felda Raja Alias 4, Mohd Jumaro Marzuki sanggup mengeluarkan belanja lebih RM1,000 untuk membeli dan memasang Jalur Gemilang serta semua bendera negeri di sekeliling rumahnya di sini.
Mohd Jumaro, 65, berkata, bendera berkenaan dipasang sepanjang tahun dan bertambah pada setiap Ogos sempena bulan kemerdekaan.
"Bulan Ogos bulan istimewa kerana selain bulan kemerdekaan ia juga merupakan hari lahir saya iaitu 31 Ogos 1957.
"Saya akan pastikan setiap bendera yang berkibar di rumah ini berada dalam keadaan baik, malah akan menukar bendera telah lusuh dengan yang baru," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 750 bendera Jalur Gemilang dan lebih 400 bendera setiap negeri berkibar di kediamannya.
"Saya akui, saya bukanlah seorang pejuang yang menentang musuh sebelum negara merdeka tetapi ia sebagai salah satu usaha meraikan bulan kemerdekaan sertai hargai jasa mereka," ujarnya.
Menyentuh soal pemasangan bendera Jalur Gemilang agak suram ketika ini terutama di premis-premis perniagaan, Mohd Jumaro berkata, berkemungkinan orang ramai masih ambil 'mood' memandangkan sudah dua tahun tidak meraikan kemerdekaan akibat pandemik Covid-19.
"Mungkin masing-masing baru nak ambil 'mood' memandangkan sudah dua tahun tidak meraikan bulan kemerdekaan disebabkan wabak Covid-19 dan saya yakin suasananya bakal meriah dalam masa terdekat ini," katanya.
Mohd Jumaro pernah dinobatkan sebagai johan pada 2011, 2012, 2013 dan 2015 pada pertandingan keceriaan bulan kebangsaan peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd Jumaro berkata, kebiasaannya selepas tamat sambutan Hari Malaysia pada 16 September, dia akan menyimpan separuh bendera berkenaan bagi mengekalkan kualiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!