Industri penyiaran Indonesia boleh dijadikan contoh: Annuar

Annuar (tiga dari kiri) melawat MNC Studios milik MNC Group di Kebon Jeruk, Jakarta Barat sempena lawatan kerja selama tiga hari sejak Khamis. - Foto Bernama
Annuar (tiga dari kiri) melawat MNC Studios milik MNC Group di Kebon Jeruk, Jakarta Barat sempena lawatan kerja selama tiga hari sejak Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
JAKARTA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ekosistem industri penyiaran di Indonesia sangat menyeluruh seiring pertumbuhan pesat era digital yang boleh dijadikan contoh.

Justeru, beliau menggalakkan stesen-stesen penyiaran swasta di Malaysia menjalinkan kerjasama dengan stesen-stesen penyiaran Indonesia, meskipun wujud perbezaan komposisi demografi dan pasaran yang ketara.

"Yang pentingnya (industri di Indonesia) adalah responsif kepada penyertaan pasaran dan membentuk satu ekosistem yang menyeluruh dan juga perniagaan yang saya anggapkan begitu ke hadapan,” katanya.

Annuar berkata demikian setelah melawat MNC Studios milik kumpulan media terbesar dan terintegrasi di Asia Tenggara, MNC Group di Kebon Jeruk, Jakarta Barat.

MNC Studios ialah kompleks pejabat dan studio bersepadu untuk tiga stesen televisyen saluran percuma MNC Group iaitu RCTI, GTV dan MNCTV.

Studio itu terletak dikawasan seluas 101,222 meter persegi dengan keluasan bangunan 113,062 meter persegi, terdiri daripada 18 tingkat pejabat dan dua tingkat bawah tanah.

Menurutnya, MNC berjaya mengambil peluang yang sepenuhnya daripada perkembangan teknologi dan permintaan semasa, malah tidak terikat kepada kaedah yang konvensional.

"Saya sangat tertarik dengan beberapa perkembangan termasuk yang terkait dengan animasi dan juga super app approach yang sangat-sangat berasaskan pasaran,” katanya.

Annuar berkata pemilik MNC Hary Tanoesoedibjo, adalah seorang yang sangat berwawasan dan praktikal dalam memperkenalkan model perniagaan yang terbukti berjaya.

Sementara itu, Annuar mengakhiri lawatan dengan menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia, 4ward Pictures dan syarikat hiburan digital PT Melon Indonesia, mengenai kerjasama penerbitan, pengedaran dan pemaparan kandungan antara Malaysia dan Indonesia.

Majlis pemetraian MoU berlangsung di pejabat PT Melon, yang merupakan anak syarikat Telkom Group Indonesia, terletak di Jakarta Selatan.

Lawatan hari ini diadakan sempena lawatan kerja selama tiga hari sejak Khamis diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!