Gerakan berharap PRU15 tidak berlaku tahun ini
SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berharap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan pada tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, Gerakan berpendirian bahawa negara harus memberikan fokus kepada pemulihan ekonomi terlebih dahulu.
"Tambahan pula, Covid-19 masih belum dapat kawal sepenuhnya dan kami berharap Parlimen akan dibubarkan pada tahun hadapan," kata Dominic dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dominic bagaimanapun berkata, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada tahun ini, Gerakan tetap bersiap sedia menghadapi PRU15.
Menurutnya, Gerakan meneliti beberapa faktor berkemungkinan pilihan raya akan diadakan secepat mungkin antaranya, perjumpaan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan berdasarkan ucapan pemimpin parti itu.
Dalam pada itu, Dominic yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa PN tetap menggunakan logo PN pada PRU15 biarpun ada berbincang mengenai logo baharu.
"Kita sudah membuat perbincangan dan keputusan diambil untuk menggunakan logo sekarang kerana ada beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Dominic turut memaklumkan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri dan Nasional Gerakan berlangsung pada September, Oktober dan November ini juga akan menjadi platform menyatakan hasrat calon parti itu untuk bertanding di kawasan-kawasan tertentu pada PRU15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!