Permudah prosedur, bantu usahawan peroleh sijil halal: Noh
SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar hari ini meminta agensi-agensi yang terlibat dalam pensijilan halal supaya mempermudah prosedur serta peraturan mendapatkan dokumen itu bagi kemudahan peniaga khususnya kalangan usahawan beragama Islam.
Menurutnya, ini penting kerana aspek itu tidak hanya membabitkan keperluan mendapatkan sijil halal tetapi turut membantu usahawan untuk kembali bangkit dan memajukan perniagaan masing-masing.
"Sebagai menteri yang menjaga (hal ehwal) usahawan, saya berharap agar proses sijil halal ini dipermudahkan kerana yang memohon adalah peniaga Melayu dan beragama Islam.
"Adalah mustahil mereka mahu menjual barangan yang tidak halal. Saya sendiri telah bangkitkan isu ini di peringkat kabinet, namun masalah sama masih timbul.
"Oleh itu, saya minta agar pihak berkenaan melihat semula prosedur dan peraturan supaya dapat dipermudahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama usahawan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Selangor di sini hari ini.
Sesi dialog tersebut turut disertai oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Ahmad dan wakil daripada 11 agensi di bawah kementerian berkenaan.
Mengulas selanjutnya, Noh berkata, isu tersebut juga sering disuarakan oleh usahawan dan KUSKOP sendiri turut mempunyai unit khas bagi membimbing usahawan memperoleh sijil halal.
Dalam pada itu, Jelajah AKM Selangor edisi kelapan selama dua hari yang bermula semalam, mengetengahkan pelbagai program dan aktiviti menarik untuk para pengunjung khususnya rakyat Selangor.
Bertemakan ‘Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara,’ acara anjuran KUSKOP itu melibatkan kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!