Banjir kilat: Sri Muda kembali pulih

Keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda kembali normal susulan banjir kilat yang dilaporkan berlaku pada petang Sabtu. - Foto PDRM
Keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda kembali normal susulan banjir kilat yang dilaporkan berlaku pada petang Sabtu. - Foto PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan di sekitar Taman Sri Muda, di sini dilaporkan kembali normal susulan banjir kilat yang melanda kawasan tersebut berikutan hujan lebat berpanjangan pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemantauan dari semasa ke semasa dijalankan pihaknya mendapati semua laluan di kawasan tersebut masih boleh dilalui.

"Hasil pemantauan awal pihak polis mendapati lokasi di sekitar Taman Sri Muda dalam keadaan baik dan terkawal walaupun pada petang ini berlaku banjir kilat yang menyebabkan ada jalan yang dinaiki air hingga paras buku lali.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan video kejadian banjir yang lama sebelum memastikan kesahihan kerana boleh mengganggu ketenteraman penduduk sekitar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan, beberapa kawasan di Taman Sri Muda, di sini dinaiki air berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut selama beberapa jam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dilaporkan telah menggerakkan beberapa buah bot dan aset berkaitan ke kawasan tersebut untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!