Tiada sebarang pemindahan penduduk di Sri Muda
SHAH ALAM - Tiada penduduk dipindahkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan Sri Muda pada petang Sabtu telah surut sepenuhnya.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sehingga kini, tiada sebarang tindakan pemindahan mangsa dibuat berikutan keadaan di Taman Sri Muda terkawal.
Menurutnya, pusat pemindahan sementara (PPS) juga tidak dibuka berikutan tiada mangsa dipindahkan.
"Setakat jam 6.30 petang, air banjir di kawasan yang dilaporkan di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam telah surut sepenuhnya.
"Hujan lebat telah berhenti dan keadaan terkini hujan turun dengan renyai di sekitar Shah Alam selain paras Sungai Klang berada dalam keadaan selamat dan air mula surut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, penduduk di sekitar Taman Sri Muda diminta untuk tidak panik dan terpengaruh dengan perkara tular melalui media sosial.
"Orang ramai dimohon agar mematuhi arahan keselamatan oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kejadian banjir," katanya.
Pada Sabtu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor telah menerima panggilan kejadian banjir di beberapa kawasan sekitar Sri Muda.
Antaranya, melibatkan Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir, Taman Sri Muda, Seksyen 25.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!