Misi pulang tiga mata dari Kuantan

Terengganu FC perlu waspada ancaman Sri Pahang FC pada pertemuan Liga Super di Kuantan pada malam Ahad. - FOTO Terengganu FC
Terengganu FC perlu waspada ancaman Sri Pahang FC pada pertemuan Liga Super di Kuantan pada malam Ahad. - FOTO Terengganu FC
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan para pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman Sri Pahang FC ketika berkunjung ke Stadium Darul Makmur bagi perlawanan Liga Super pada malam Ahad.

Ia berikutan prestasi cemerlang Tok Gajah kendalian Datuk Dollah Salleh, yang telah mencipta tiga kemenangan berturut-turut sebaik mengambil alih tampuk kejurulatihan daripada Christophe Gamel, Julai lalu.

Menurut Nafuzi, kunjungan ke Kuantan menjadi misi besar pemain untuk mengutip tiga mata, sekali gus mengelak daripada tergelincir ke tangga bawah liga.

"Sememangnya Sri Pahang FC sedang berada di kedudukan yang baik kerana mempamer persembahan yang berbeza di atas padang berbanding sebelum ini.

"Sudah pasti ia tugas sukar buat pemain, tetapi kita perlu pulang dengan tiga mata dan teruskan momentum kemenangan untuk kekal di kedudukan keempat liga," katanya kepada pemberita.

Selain itu, Nafuzi turut meminta pemain supaya lebih berhati-hati dan mengawasi penyerang import, Steven Rodrigiuez yang sudah meledak enam gol dalam enam penampilannya bersama Sri Pahang.

Kata beliau, sebarang kesilapan kecil perlu dielak bagi memastikan skuad Penyu tidak dihukum dengan kelajuan dan ketajaman penyudah Rodriguez yang berasal dari Colombia.

"Untuk malam esok, Kpah Sherman mungkin tak dapat diturunkan kerana masih cedera, begitu juga Azarul Nazarith yang alami masalah sama.

"Azam Azmi juga tidak dapat bermain kerana digantung perlawanan. Tetapi Faiz Nasir, Petrus Shetembi dan Kipre Tchetche sudah kembali dengan pasukan," katanya yang sedang membuat persiapan rapi bagi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bukit Jalil pada 10 September depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!