Banjir: Ibu bawa empat anak termasuk bayi naik bumbung
JOHOR BAHRU - Seorang ibu nekad membawa empat anaknya termasuk bayi berusia empat bulan memanjat bumbung apabila rumah mereka di Kampung Laut Batu, Skudai dinaiki air berikutan hujan berlarutan selama dua jam petang tadi.
Hairul Badariah Zakariah, 39, berkata, tindakan memanjat bumbung adalah satu-satunya cara yang terlintas di fikirannya kerana terlalu cemas apabila paras air meningkat dengan pantas.
"Kita tengok air surut pada mulanya, kita pun tak sangka macam itu sekali. Tiba-tiba air cepat naik dan makin laju, kita pun gelabah... Suami tiada masa kejadian jadi saya seoranglah naik ke atas tangga bawa anak-anak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pengalaman cemas turut dikongsi jirannya, Sulaiman Salleh, 56, yang menyifatkan keadaan banjir itu paling buruk pernah dialaminya tahun ini.
"Semasa kita tunggu bomba datang kita dah pindah ke rumah sebelah di atas bukit, tetapi rumah dia pun dinaiki air juga. Memang risau sebab air naik cepat sangat, kita dah biasa kena banjir tapi kali ini memang terlalu cepat," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.30 petang sebelum 12 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, 19 mangsa banjir terdiri daripada penduduk di Kampung Laut telah diselamatkan dengan menggunakan bot fiber milik bomba dan penduduk setempat setakat petang tadi.
"Rumah yang terkesan ditenggelami air ini kita jangkakan dalam 15 buah dan keluarga jadi kita masih lagi menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dan kita kena pastikan semua mangsa yang kita akan keluar selamat sebelum kita tutup operasi pada malam ini," katanya.
Kesemua mangsa berumur empat bulan hingga 62 tahun berpindah sementara ke rumah saudara mara terdekat dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka ketika ini namun difahamkan terdapat dua PPS akan dibuka dalam masa terdekat.
Terdahulu, beberapa kawasan di Johor Bahru dan Kulai dinaiki air berikutan hujan lebat kira-kira dua jam sejak 2 petang hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Johor dalam satu kenyataan memaklumkan antara lokasiterkesan adalah Kampung Jaya Sepakat dan Taman Aman di Kulai sementara di Johor Bahru, kawasan terjejas adalah di Kampung Maju Jaya, dan Kampung Laut Batu 10, Skudai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!