Gangguan air: 17,000 pengguna di Kulai terjejas

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kira-kira 17,000 pengguna sekitar kawasan Kulai mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran amonia yang berlaku di Sungai Sayong, semalam.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pencemaran itu kemudiannya mengakibatkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) sekitar kawasan berkenaan terpaksa ditutup.

“Semalam telah berlaku pencemaran ammonia dari pusat bio komposit bersebelahan sebuah kilang kelapa sawit di Sedenak. Dipercayai puncanya akibat bam takungan fasiliti itu telah pecah lalu mengakibatkan air mengandungi ammonia mengalir masuk ke Sungai Sayong.

“Sungai Sayong merupakan salah satu anak sungai yang membekalkan air mentah ke Sungai Johor. Pencemaran ini kemudiannya menyebabkan LRA Sayong 1 dan Sayong 2 telah ditutup dan tidak boleh memproses air mentah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Wee Tse berkata, keadaan tersebut menjadi lebih serius apabila tiga lagi LRA terpaksa ditutup operasinya akibat kandungan ammonia yang tinggi itu.

“Hari ini, LRA Semanggar dan LRA Sungai Johor pula telah menghentikan operasinya kerana kandungan ammonia dalam air mentah telah sampai ke loji-loji tersebut. Ia disusuli LRA Tai Hong beberapa jam selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan awal bagi mengatasi masalah itu selain mengenakan tindakan undang-undang kepada pihak bertanggungjawab.

“Pihak berwajib telah mengambil tindakan terhadap premis ini dengan membatalkan lesen abstraksi air mentah dan akan mengenakan kompaun dengan nilai yang sewajarnya berdasarkan insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kawasan yang terjejas adalah di daerah Kulai. Dijangka pemulihan sepenuh bekalan air ini akan diselesaikan menjelang jam 10 malam ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!