Jiwa Vardy masih di Leicester City
PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy menandatangani lanjutan kontrak selama setahun yang menyaksikan tonggak England itu kekal bersama The Foxes sehingga Jun 2024, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Untuk rekod, Vardy sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi liga Inggeris, Manchester United.
Pemain berusia 35 tahun itu, yang menyertai The Foxes dari kelab Fleetwood Town pada 2012, berada di tempat ketiga senarai penjaring gol sepanjang masa Leicester dengan 164 jaringan daripada 387 perlawanan dalam semua pertandingan.
"Sejujurnya saya sangat teruja. Sebaik sahaja saya mendengar hasrat dan keinginan kelab ini, saya pasti menandatanganinya.
"Keputusan untuk kekal begitu mudah. Saya telah berada di sini cukup lama sehingga saya berasa seperti sebahagian daripada keluarga besar Leicester City," ujar Vardy.
Vardy, yang menjaringkan 17 gol musim lalu, merupakan tonggak penting mengemudi Leicester merangkul kejuaraan liga 2015-16 dan Piala FA pada 2020-21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!