Wanita rentung kereta terbakar bertembung lori

Kenderaan dinaiki mangsa yang terbakar lori dalam kejadian di KM85 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, di Setiu pada Sabtu. - Foto Ihsan Bomba
Kenderaan dinaiki mangsa yang terbakar lori dalam kejadian di KM85 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, di Setiu pada Sabtu. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

SETIU - Seorang wanita rentung setelah kereta yang dinaikinya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer (KM) 85 Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja, di sini, kira-kira jam 5.35 petang, pada Sabtu.

Mangsa, Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, yang ketika itu berada di sebelah kiri pemandu maut di lokasi kejadian setelah gagal keluar dari kenderaan.

Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Pasir Puteh, Kelantan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori yang dinaiki dua individu dari Penarik, Setiu dalam perjalanan menghala ke kawasan hutan di KM85 Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja untuk mencari ranting kayu sebagai hiasan pelamin.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori tersebut telah memberi isyarat untuk membelok ke kanan. Ketika membelok ke kanan, Perodua Kelisa dari arah yang sama cuba memotong lori itu namun gagal lalu melanggar bahagian kanan lori berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan terbakar. Semua mangsa berjaya keluar kecuali penumpang Perodua Kelisa yang gagal keluar dan telah terbakar serta meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya di sini, pada Sabtu.

Menurut Afandi, pemandu lori, Mohd Noridzuan Zainudim, 28, dan pemandu Perodua Kelisa, Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, mengalami kecederaan pada bahagian leher.

Katanya, dua lagi penumpang lori iaitu Muhammad Tarmizi Ismail, 26, dan Che Zainal Muttaqin Che Asing @ Hashim, 26, tidak mengalami kecederaan.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!