Food Bank bantu rakyat miskin di Lenggong

Ahmad Suqairy (dua, kiri) menyempurnakan gimik pelancaran program Food Bank peringkat daerah Lenggong dengan kerjasama NGO Rumah Wakaf di pekarangan MDLG, Lenggong hari ini.
Ahmad Suqairy (dua, kiri) menyempurnakan gimik pelancaran program Food Bank peringkat daerah Lenggong dengan kerjasama NGO Rumah Wakaf di pekarangan MDLG, Lenggong hari ini.
A
A
A

LENGGONG - Majlis Daerah Lenggong (MDLG) dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO) Rumah Wakaf melancarkan program Food Bank peringkat daerah itu hari ini bagi menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Ahmad Suqairy Alias berkata, pihaknya bersama NGO berkenaan kini menyasarkan seluruh peniaga kecil, usahawan dan badan korporat terdapat di daerah Lenggong untuk melibatkan diri menyalurkan bekalan makanan bagi menampung keperluan golongan miskin di sini pada bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, NGO Rumah Wakaf dipilih sebagai agensi menguruskan program Food Bank peringkat daerah itu berdasarkan pengalaman dan komitmen mereka dalam melaksanakan agenda kebajikan terhadap golongan kurang berkemampuan di daerah Lenggong.

"Selain itu, inisiatif Majlis Daerah Lenggong mengadakan program sebegini bagi memenuhi kriteria Standard Development Goals (STG) yang sememangnya ditetapkan ke atas seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan di seluruh negara.

"Objektif utama program ini untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti bermasyarakat dan berkebajikan kerana sejak akhir ini penglibatan komuniti penduduk Lenggong dalam program kemasyarakatan amat kurang," katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Komuniti Bersama Penduduk Lenggong di pekarangan Majlis Daerah Lenggong hari ini.

Ahmad Suqairy berkata bagi menjayakan program Food Bank peringkat daerah yang julung kali dilancarkan di sini, Majlis Daerah Lenggong turut menyalurkan sumbangan peralatan kerusi dan meja kepada pusat Food Bank daerah Lenggong yang bakal beroperasi di premis NGO Rumah Wakaf.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan bekalan makanan mencukupi mampu dikumpulkan melalui program Food Bank itu sebelum bermula bulan Ramadan sekiranya inisiatif ini mendapat perhatian serius semua penduduk.

"Bekalan makanan dikumpulkan itu kemudiannya akan diagihkan terus dari premis Food Bank terbabit kepada mereka yang benar-benar layak dan kami berharap program turut mendapat sokongan kerajaan sama ada di peringkat negeri dan pusat.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita turut merancang untuk memperluaskan perlaksanaan program Food Bank pada setiap tahun supaya dapat membantu lebih ramai golongan miskin dan memerlukan,"katanya.

Food Bank Malaysia diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilancarkan di Pulau Pinang pada 22 Dis lepas dengan menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam.

Menerusi program itu, lebihan makanan terutama dari pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!