Tiga kaki pancing ponteng solat Jumaat ditahan
KUALA TERENGGANU - Tiga lelaki ditahan sepasukan anggota penguat kuasa di sebuah kolam memancing di daerah Marang kerana didapati meninggalkan solat Jumaat semata-mata menunggu lokasi tangkapan ikan itu dibuka.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun itu ditahan antara jam 1.30 tengah hari hingga jam 2 petang oleh Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Marang dan Penguatkuasaan JHEAT, pada Jumaat lalu.
Katanya, pegawai penguat kuasa syariah wanita yang melakukan penyamaran mendapati lelaki berkenaan tidak berganjak dari lokasi itu bermula masuk waktu solat Jumaat sehingga habis waktu.
"Ketiga-tiga lelaki terbabit didapati hanya duduk di dalam kereta sementara menunggu kolam pancing beroperasi.
"Sebaik selesai solat Jumaat, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan. Ketika disiasat, mereka memberikan alasan menunggu kolam pancing dibuka selepas waktu solat Jumaat, " katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, tiga lelaki itu berdepan dakwaan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu (pindaan 2016) kerana tidak menunaikan solat Jumaat.
Jelas beliau, bagi kesalahan itu, individu terbabit boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Operasi yang dijalankan di sekitar daerah Marang pada Jumaat lalu disertai seramai 15 anggota penguat kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!