Pujian melambung buat Kane
PENGURUS Tottenham Hotspur, Antonio Conte memuji pemain sensasi, Harry Kane sebagai pemain terbaik dalam pasukan selepas meledak gol tunggal ketika mencatat kemenangan ke atas Wolverhampton.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Spurs di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dibezakan dua mata dengan Arsenal yang mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan.
Peminat juga menaruh harapan kepada Kane untuk membantu Spurs menamatkan penantian panjang menjulang trofi sejak kali terakhir pada 2008.
Conte juga menyedarinya, namun beliau menegaskan bukan hanya gol Kane menjadikannya pemain penting.
"Harry adalah pemain yang melakukan perubahan dengan kualiti dan keupayaan yang ada padanya.
"Kita bercakap mengenai penyerang benar-benar bertaraf dunia yang berbahaya dalam semua aspek di atas padang," katanya.
Kane mengatasi Sergio Aguero di kedudukan keempat dalam senarai penjaring sepanjang zaman EPL dengan 185 gol dan mencipta rekod itu dalam satu pasukan sahaja.
Dia juga merakamkan 250 gol dalam semua pertandingan untuk Spurs.
Pengendali dari Itali itu turut memuji sikap Kane merupakan seorang yang baik.
"Bagi saya, apa yang menarik mengenai Harry bukan sahaja pada aspek bola sepak, tetapi sikap individu dia. Kita bercakap mengenai seorang yang sangat baik.
"Dia sentiasa bersedia untuk membantu dan bekerja dengan pasukan. Biasanya apabila anda mempunyai pemain seperti ini, mereka boleh menjadi malas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!