Pertingkat kemudahan internet, jalur lebar untuk kelas hibrid

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan perlu mempertingkatkan kemudahan internet dan jalur lebar di seluruh negara bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek kelas hibrid yang akan bermula November depan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslimin Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, i-Guru menyambut baik pelaksanaan projek rintis itu namun beberapa perkara perlu ditambah baik.

"Paling penting adalah memastikan kemudahan internet dan jalur lebar dipertingkatkan, pada masa sama guru-guru perlu diberi latihan insentif dalam menggunakan teknologi pembelajaran secara digital.

"Selain itu perlu memanfaatkan pelantar pendidikan seperti platform ‘Delima’ dan Google Education Learning.

"Suasana kelas juga perlu kondusif dan interaktif dengan mengambil kira bilangan murid yang bersesuaian untuk sesi pengajaran,"katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Menurut Mohd Azizee, i-Guru berharap projek berkenaan dapat meningkatkan pengetahuan murid, kreativiti dan inovasi guru serta dapat mewujudkan perkongsian pintar pengajaran dan pembelajaran (PdP) antara sekolah- sekolah sekali gus merapatkan jurang pendidikan dan digital.

Tambah Mohd Azizee, ia juga bersesuaian dengan perkembangan semasa di peringkat global terutama di era pembelajaran Tingkatan Enam.

"Projek rintis ini diharap dapat mempercepatkan perkongsian ilmu dan kemahiran sekali gus mendedahkan murid- murid untuk menggunakan aplikasi pembelajaran digital seperti televisyen pintar (Smart TV), skrin layar dan peranti berkaitan.

"Oleh sebab itu penting adanya peruntukan kewangan yang besar terutama bagi penyediaan peralatan pembelajaran seumpama itu," katanya.

Katanya, projek rintis berkenaan perlu diperluaskan ke sekolah lain dan memberi keutamaan kepada sekolah- sekolah luar bandar.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, bagi memperkasa pendidikan digital negara, Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, 110 sekolah di seluruh negara itu termasuk Sabah dan Sarawak yang dipilih dengan setiap lima bilik darjah sekolah akan ditingkatkan sambungan internet untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara hibrid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!