Liverpool dapat tiga mata jika aksi ditangguhkan
PENGENDALILiverpool, Jurgen Klopp mahu skuad kendaliannya itu diberikan tiga mata sekiranya aksi berdepan Manchester United bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford Selasa ini dibatalkan susulan protes penyokong terhadap pemilik skuad The Red Devils itu.
Menurut Klopp, protes terhadap pemilik kelab berkenaan yang dikenali sebagai 'keluarga Glazer' iaitu keluarga bilionaire dari Amerika Syarikat (AS) itu turut berlaku kira-kira 15 bulan lalu hingga menyaksikan aksi kedua-dua pasukan berkenaan pada Mei 2021 terpaksa ditangguhkan apabila penyokong United bertindak 'menceroboh' ke padang permainan biarpun berdepan larangan akibat pandemik Covid-19 ketika itu.
"Kami tidak mengharapkan 'mata percuma' itu tetapi dalam masa sama kami juga berharap perlawanan dapat berjalan seperti dijadualkan dan tidak ditangguhkan.
"Ini kerana kedua-dua pasukan perlu meraih mata tetapi jika perlawanan ini terpaksa ditangguhkan kami rasa seharusnya diberikan mata berkenaan.
"Mengapa tidak? Kami tidak ada kena mengena langsung dengan situasi yang berlaku ketika ini dan jika penonton tidak mahu perlawanan berlangsung, perlawanan ini juga tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya dalam musim yang agak sibuk dan padat kali ini," katanya.
Pada Ahad, kelompok penyokong United dikenali sebagai Kumpulan 1958 atau Gerakan Anti Glazer dikatakan merancang melakukan demonstrasi terhadap keluarga Glazer di Old Trafford pada Selasa.
Demonstrasi yang mula dilakukan pada Mei 2021 itu dipercayai berlaku kerana United dikatakan terlibat dalam percubaan membentuk Liga Super Eropah.
Sehingga kini, gerakan berkenaan dijangka meneruskan demonstrasi berkenaan sehingga ke penghujung musim ini setelah skuad The Red Devils itu sekali lagi menamatkan kempen EPL musim lalu tanpa sebarang trofi dalam tempoh sembilan tahun kebelakangan ini.
Untuk rekod, United dibeli oleh keluarga American Glazer dengan harga RM4.37 bilion (£790 juta) pada 2005.
Sementara itu, Klopp berharap kesebelasan The Reds bersedia sepenuhnya bagi mengharungi aksi berdepan United.
Katanya, kesebelasan pemain diharap tidak terpengaruh dengan situasi semasa terutama keadaan yang berlaku di Old Trafford.
"Tugas mereka (pemain) adalah untuk kekal fokus dan beraksi sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!